PPMP GESA KERAJAAN SEGERAKAN PEMBERIAN VAKSIN UNTUK MEDIA

IPOH: Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada pengamal media.
Pengerusinya, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, sehingga hari ini pengamal media di Perak dan beberapa negeri lain masih belum mendapat sebarang notifikasi pemberian vaksin COVID-19.
“Media juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan negara dan sejak dilanda pandemik COVID-19 setahun lalu sudah beberapa kali petugas media Perak perlu menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.
“Malah bulan Mei lalu seramai 22 petugas media dari pelbagai agensi diarahkan menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Sayed Hesham, situasi tersebut menunjukkan tugasan lapangan yang dilakukan petugas-petugas media sangat berisiko.
Justeru katanya, PPMP berharap kerajaan tidak membelakangkan petugas media dan turut memberi keutamaan kepada mereka untuk menerima vaksin COVID-19 seperti petugas barisan hadapan yang lain.
Semalam Menteri Penyelaras Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan para petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Kebangsaan esok (Rabu). — AlHijrah Online / Hamimah Hamid