MELAKA: Polis menafikan dakwaan video tular seorang wanita ditahan di sebuah pusat beli-belah di Bandaraya Melaka, malam tadi, terlibat dalam cubaan menculik kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, wanita berusia 33 tahun itu disahkan mengalami masalah kesihatan mental dan bertindak agresif dengan menyerang pengunjung di pusat beli-belah tersebut.
Katanya pihaknya menerima laporan daripada seorang suri rumah mengenai kejadian sekitar jam 9.23 malam.
“Pengadu memaklumkan seorang wanita tidak dikenali telah mengekori dia dan anak-anaknya ketika mereka berada di sebuah kedai di Dataran Pahlawan sekitar jam 7.15 malam.
“Suspek bercakap sendirian, menjerit-jerit dan terus mengekori pengadu serta keluarganya sehingga ke tangga eskalator pusat beli-belah.
“Selain itu, pengadu mendakwa wanita itu turut menendangnya sehingga terjatuh, menyebabkan kejadian itu menarik perhatian orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian ditahan oleh anggota polis bantuan sebelum diserahkan kepada pasukan peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Suspek juga dilaporkan dibawa ke Hospital Melaka bagi pemeriksaan kesihatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri, katanya.
“Setakat ini, dia masih ditahan di wad berkenaan untuk pemantauan pihak hospital,” jelas Christopher.
Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.—AlHijrah Online