CALON UPKK 2022 TERKESAN PINDAAN TARIKH DISERU KEMUKA RAYUAN – KP

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru ibu bapa dan penjaga kepada calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 yang terjejas ekoran pindaan tarikh ujian untuk mengemukakan rayuan kepada agensi pelaksana terlibat. 

Pada 27 Okt lepas, jabatan itu mengumumkan pindaan tarikh pelaksanaan UPKK (Bertulis) yang dijadualkan pada 14 hingga 17 Nov depan kepada 28 Nov hingga 1 Dis berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya telah menerima maklum balas daripada ibu bapa dan penjaga berkenaan calon UPKK 2022 yang terkesan dan tidak memungkinkan mereka menduduki peperiksaan.

“Jakim bersetuju menguar-uarkan kepada ibu bapa/penjaga untuk mengemukakan rayuan berserta  dokumen sokongan yang berkaitan kepada agensi pelaksana (pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan KAFA di negeri berkenaan) yang menguruskan peperiksaan UPKK sebelum 15 Nov 2022.

“Keputusan rayuan akan dimaklumkan oleh agensi pelaksana kepada calon yang berkenaan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hakimah turut menegaskan Jakim sentiasa prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan dan menghargai komitmen semua pihak terhadap keadilan kepada calon UPKK 2022. –AlHijrah Online

Leave a Reply