RAMAI TIDAK SEDAR JADI MANGSA GANGGUAN SEKSUAL

KUALA LUMPUR: Gangguan seksual kebanyakannya berlaku dalam diam dan pemangsa menggunakan empat kaedah iaitu melalui lisan, isyarat, visual atau psikologikal untuk memerangkap mangsa.

Menurut Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), semua kaedah gangguan ini dilakukan secara senyap dan ramai mangsa tidak menyedari mereka sedang diganggu.

“Jenayah gangguan seksual bukan sahaja berlaku kepada kaum wanita, tetapi juga pada lelaki tanpa mengira usia, penampilan fizikal atau status perkahwinan dan masalah ini juga boleh berlaku kepada mangsa yang mempunyai jantina sama dengan pelaku,” katanya.

Sementara itu, tahap kesedaran wanita untuk melindungi diri sendiri daripada gangguan seksual masih lagi perlu dipupuk.

Tambah kenyataan tersebut wanita perlu menjadi lebih bijak dan rasional lebih-lebih lagi bila gangguan dilakukan oleh orang disayang, atau orang yang hampir dengan mereka.

“Wanita perlu mempunyai ilmu psikologi khususnya memahami personaliti diri dan juga orang lain. Wanita juga perlu tahu hak mereka di sisi undang-undang. Mereka harus berani mengambil tindakan undang-undang dan melalui proses tersebut dengan lebih berani.

“Selain itu wanita perlu tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan agensi kerajaan yang berkaitan serta badan bukan kerajaan sentiasa bersedia membantu wanita yang memerlukan bantuan dan khidmat sokongan,” katanya.

Berdasarkan statistik dari Januari hingga Jun 2022, sejumlah 1,643 kes kesalahan seksual direkodkan melibatkan jenayah rogol, sumbang mahram, cabul kehormatan, luar tabii, mengaibkan, dan sebar atau simpan bahan lucah.

Tegas KPWKM, isu gangguan seksual perlu diambil serius oleh semua pihak tidak mengira bangsa, agama dan jantina bertepatan dengan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut serentak di seluruh dunia pada 25 November ini. – AlHijrah Online

Leave a Reply