SKUAD WAJA SELAMATKAN WANITA CUBA BUNUH DIRI, BANTU MANGSA PENGANIAYAAN

KUALA LUMPUR: Bermula 2021 sehingga 10 Oktober 2022, seramai 72,808 individu telah disantuni dalam program psikososial yang digerakkan Skuad Waja di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Program digerakkan skuad sukarelawan melalui agensi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu sangat memberi kesan yang positif kepada komuniti terutamanya kepada wanita berdasarkan kepada aktiviti psikososial yang dijalankan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPWKM, antara kejayaan Skuad Waja ialah menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan membunuh diri.

“Kejadian ini berlaku di mana wanita ini yang juga seorang ibu mengalami tekanan perasaan menguruskan dua orang anaknya yang mempunyai kecelaruan spektrum autism. Salah seorang saksi yang melihat kejadian itu telah menghubungi pihak Kementerian dan dirujuk kes tersebut kepada ahli Skuad Waja.

“Ahli Skuad Waja tersebut telah bercakap dengan mangsa melalui telefon dan menenangkan beliau,” katanya.

Mangsa tersebut telah dirujuk untuk sesi kaunseling dengan pegawai psikologi JPW dan sesi kaunseling masih diteruskan.

Dalam kisah yang lain, Skuad Waja juga telah membantu seorang remaja wanita yang menjadi mangsa kes penganiayaan.

“Ahli Skuad Waja telah menerima aduan kes penganiayaan terhadap seorang remaja wanita yang ditemui diikat dan terdapat kesan luka dan pukul di badan.

“Kes tersebut kemudian dilaporkan kepada polis dan ahli Skuad Waja juga turut mencari rumah perlindungan untuk menempatkan mangsa memandangkan mangsa tidak mempunyai waris ketika itu,” katanya.

Usaha mencari waris mangsa dijalankan Skuad Waja selepas itu dan remaja tersebut kini dijaga oleh ibu saudaranya.

Ujar kenyataan yang dikeluarkan, hasil keprihatinan dan semangat sukarelawan yang tinggi, ahli Skuad Waja berjaya mendekati dan membantu mereka yang memerlukan.

Penubuhan Skuad Waja bertujuan untuk memperkasa komuniti melalui program bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.

Perlaksanaa Program Skuad Waja ini bermula pada Januari 2021 dan sehingga sehingga 10 Oktober 2022 seramai 326,933 orang telah mendaftar.

“Tiada upah atau bayaran elaun diberi kepada ahli Skuad, namun keikhlasan ingin membantu menjadi perangsang dan motivasi kepada mereka untuk terus menyantuni komuniti,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply