CAMPUR TANGAN AHLI POLITIK DALAM PDRM SUDAH LAMA – MUSA HASSAN

PETALING JAYA: Budaya campur tangan ahli politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berlaku sejak sekian lama.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Musa Hassan mengakui perkara tersebut, sehingga menyebabkan operasi pasukan keselamatan tersebut terganggu dengan hal demikian.

Menurutnya, jika budaya tersebut masih diamalkan, pasukan polis akan “hilang taring” yang mana sebelum ini terdapat ahli politik cuba mengawal polis dengan mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai operasi tanpa pengetahuan KPN.

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya.

Musa mengulas lanjut, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bahawa pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diketuai tokoh bebas atau selain daripada menteri dalam kerajaan.

“Tetapi perlu diingat, tiada pihak yang mempunyai kuasa mutlak apabila membabitkan urusan pertukaran dan pelantikan pegawai dalam perkhidmatan PDRM.

“Pengerusi SPP sendiri boleh memberi kuasa perwakilan kepada KPN untuk melantik atau menukar mana-mana pegawai atasan, sekiranya perlu berbuat demikian,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa terdapat ahli politik, lebih jelas, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang masuk campur urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan Abdul Hamid adalah cubaan ahli politik mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai polis bermasalah.—AlHijrah Online

Leave a Reply