CEMAR AMBANG MERDEKA, 578 BELIA TERLIBAT LUMBA HARAM 

ALOR SETAR: Seramai 578 anak muda berusia daripada 14 hingga 20 tahun ditahan selepas terlibat dengan aktiviti lumba haram, di Pokok Sena, di sini, pada malam Ambang Merdeka semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua pelumba dan mereka yang menonton telah ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, bermula jam 10 malam sehingga jam 5 pagi.

Katanya, kesemua penunggang tidak dapat melarikan diri selepas polis berjaya mengepung dengan menutup jalan utama Pokok Sena ke Alor Setar.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 481 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 117 buah motosikal disita.

Ahmad Shukri berkata, antara kesalahan dikesan antaranya ubah suai ekzos dengan mengeluarkan bunyi bising, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen, tiada cukai jalan dan tiada lesen.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kesemua ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.—AlHijrah Online

Leave a Reply