COVID-19: MERCY MALAYSIA AGIH RM19.5 JUTA BANTUAN PERUBATAN

Last Updated on

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia mengagihkan lebih RM19.5 juta bantuan perubatan, termasuk kelengkapan perubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE), kepada petugas barisan depan medikal dan non-medikal seluruh negara bagi mengekang COVID-19.

Bantuan itu adalah hasil sumbangan korporat dan orang ramai, termasuk dua penyumbang terbesarnya iaitu Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yang menyalurkan sumbangan RM10 juta dan Maybank (RM5 juta).

Sehingga 31 Mac lalu, Mercy Malaysia antara lain mengagihkan lebih 173,000 penutup hidung dan mulut (facemask), face shield (4,120 set), pek makanan (10,664), hand sanitizer (5,018), kit hygiene (18,821 set), intubation box (9), gown isolation (2,100), glove medikal (125,000), mesin jahit (12 set), penutup kasut (1,960), termometer (58) dan sut Tyvek (5,405 set).

EXCO Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah berkata peralatan perubatan dan PPE adalah komponen terbesar bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kepada fasiliti perubatan di seluruh negara selain kepada petugas barisan depan non-medikal.

Beliau berkata Mercy Malaysia juga akan mengagihkan peralatan perubatan kritikal bagi kegunaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara seperti 50 unit ventilator, 20 unit pam infusion, 15 unit vital sign monitor dan dua unit ICU monitor.

“Kita kolabarasi dengan beberapa NGO, termasuk agensi kerajaan seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk menyelaraskan bantuan kepada kelompok memerlukan khusus untuk menangani COVID-19 secara teratur.

“Dalam menangani situasi pendemik seperti sekarang, Mercy Malaysia percaya tiada satupun NGO dapat melakukannya tanpa kerjasama. Kita harus bergerak secara kolektif untuk bantu kerajaan menangani COVID-19,” katanya dalam temubual dengan AlHIjrah Online melalui skype dari Pusat Operasi COVID-19 Mercy Malaysia-TNB di Bukit Tunku di sini hari ini.

Sesi temubual secara atas talian itu turut disertai Pengurus Besar Operasi Program Mercy Malaysia yang juga Ketua Misi COVID-19 Mercy Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim

Norazam berkata strategi pengurusan bantuan dalam krisis COVID-19 di Malaysia perlu dilihat dari perspektif yang melangkaui fasa kecemasan memandangkan ia adalah pandemik global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  

“Khususnya untuk pandemik, fasa emergency tidak boleh dilihat sebagai stand alone. Ia juga harus melibatkan fasa pemulihan dan preparedness (persediaan). Kita kena lihat secara serentak.

“Dalam tim kerja bantuan, termasuk doktor yang dihantar dan petugas yang mengagihkan bantuan ada tim risk-reduction salurkan maklumat bagaimana nak kurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan sebagainya,” kata Norazam.

Said Alhudzari berkata, program Mercy Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara umumnya meliputi lapan program utama termasuk pembekalan dan pengagihan PPE kepada petugas barisan hadapan medikal dan non-medikal, termasuk anggota polis dan tentera.

“Kita juga edarkan pek makanan kepada golongan terjejas termasuk kumpulan B40 dan pelarian atau pendatang. Kita cover all the gap yang ada untuk membantu pihak kerajaan menangani COVID-19,” katanya.

Mercy Malaysia turut membuka talian hotline khidmat kesihatan mental dan psikososial (MHPSS) 03 2935 9935 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk membantu masyarakat dari segi pengurusan emosi dan psikososial.

“Kita juga bantu tingkatkan kesedaran umum mengenai COVID-19 melalui penyediaan bahan informasi, pendidikan dan komunikasi (IEC) melalui mikro site Mercy Malaysia selain mengedarkan bahan kesedaran ini ketika pengagihan bantuan,” kata Said Alhudzari.

Mercy Malaysia juga antara NGO bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) Malaysia, selain Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysian Relief Agency (MRA), membantu menyaring kelompok berisiko tinggi iaitu pendatang dan pelarian yang berada di negara ini.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 5,425 kes jangkitan COVID-19 dengan 3,295 kes sembuh dan didiscaj dari hospital. Jumlah kes baharu dicatatkan hari ini adalah 36 kes dengan jumlah kematian kekal 89 kes maut. – AlHijrah Online

Leave a Reply