LITTLE CALIPHS TAWAR POTONGAN YURAN, KEKAL KUALITI PENDIDIKAN

Oleh Zaim Zamani

SHAH ALAM: Pusat perkembangan kanak-kanak Little Caliphs International menawarkan potongan 10 hingga 30 peratus bagi yuran pembelajaran biasa dan 100 peratus potongan yuran untuk penjagaan harian kanak-kanak bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga 35,000 pelajarnya berdepan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Nordin berkata walaupun yuran dikurangkan, namun kualiti pembelajaran tetap dijaga dan pihaknya turut menyediakan pembelajaran atas talian yang fokus kepada pendidikan minda dan pembinaan keperibadian anak-anak.

“Kenapa mesti nak pra sekolah walaupun dalam PKP? Ini kerana kajian menunjukkan lebih 80 peratus perkembangan otak anak-anak berlaku sebelum umur enam tahun, jadi jika tak bagi pendidikan yang baik kita akan terlepas masa keemasan ini.

“Apa yang kita bagi (pendidikan) kepada anak-anak hari ini beri kesan kepada jati diri, keyakinan diri dan pandangan dunia dia untuk masa-masa akan datang,” katanya kepada AlHijrah Online hari ini.

Roslan berkata sebahagian besar ibu bapa menyambut baik inisiatif pemotongan yuran itu dan gembira dengan konsep pembelajaran dari rumah yang diperkenalkan pihaknya.

Ketua Pegawai Akademik Little Caliphs, Sabariah Faridah Jamaluddin berkata, modul pembelajaran dari rumah itu, mengikut silibus pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ditambah dengan elemen interaktif bagi menarik minat pelajar untuk belajar dari rumah.

Katanya modul pendidikan yang ditekankan melalui pembelajaran dari rumah termasuklah membaca, mewarna, akhlak dan sirah.

“Khas untuk PKP kita telah buat silibus dan program khas untuk enam minggu dan silibus ini mengikut perkembangan anak-anak dan bila kita mengajar di rumah kita kena ikut perkembangan mereka.

“Kita telah buat satu ‘group’ di Facebook khas untuk pembelajaran dari rumah untuk pelajar-pelajar Little Caliphs,” katanya.

Sabariah berkata bahan-bahan pelajaran atas talian sebahagian besarnya disumbangkan oleh guru-guru Little Caliphs yang terlatih.

Sementara itu, beliau turut memaklum pihaknya juga telah menyediakan bahan untuk pelajar little Caliphs menjelang Ramadan. — AlHijrah Online

Leave a Reply