E-KITCHEN BUKA RUANG BERNIAGA SECARA ONLINE DI SELANGOR KETIKA RAMADAN

Oleh Nurayuni Johari

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Incorporated (MBI) hari ini melancarkan platform e-kitchen bagi membuka peluang buat usahawan Selangor berniaga secara online sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata platform online itu akan memenuhi keperluan pelanggan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa berkonsepkan “social distancing” sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata e-kitchen menawarkan dua bentuk platform pemasaran iaitu Platform Selangor atau PLATS dan E-Kitchen Selangor Grab.

“PLATS adalah Platform Selangor dan di sini kita daftarkan peniaga di http://www.plats.com.my dan mereka boleh mula mendaftar bermula hari ini,” katanya kepada AlHijrah Online di Studio Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin melancarkan kedua-dua platform e-kitchen itu di program bual bicara pagi TV AlHijrah, Assalamualaikum.

Beliau berkata peniaga atau usahawan yang ingin menyertai platform e-kitchen itu boleh mendaftar perniagaan mereka di PLATS mulai hari ini.

Prihatin terhadap kewangan semasa peniaga kecil, Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada mereka yang layak dengan pembiayaan dari RM3,000 hingga RM5,000 setiap peniaga melalui dana Hijrah Selangor.

Menteri Besar Selangor itu turut memaklumkan pihaknya menyasarkan 200 peniaga akan terlibat dalam program itu.

Katanya, platform e-kitchen itu akan membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan terbaik, malah menjimatkan kos penghantaran kepada pelanggan.

E-kitchen akan menetapkan set makanan dan ia akan diletakkan di pusat pengumpulan bagi memudahkan proses penghantaran makanan kepada pelanggan. Set yang ditetapkan itu dapat menjimatkan kos penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

Pelanggan yang ingin membuat pesanan boleh melayari laman sesawang PLATS dan pesanan boleh dibuat bermula jam 10 malam hingga jam 1 tengah hari, sebelum penghantaran dilakukan jam 2 petang hingga 7 malam. — AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply