COVID-19: PETUGAS KESIHATAN TURKI TIDAK DIBENAR PULANG

ANKARA: Kementerian Kesihatan Turki semalam berkata petugas kesihatannya tidak dibenarkan meninggalkan tugas mereka dalam usaha negara itu memerangi penularan koronavirus, demikian lapor agensi berita Anadolu.

Sekatan membabitkan petugas kerajaan dan swasta itu akan berkuatkuasa selama tiga bulan, kata sumber rasmi.

Turki mencatatkan 92 kematian akibat koronavirus dengan jumlah individu dijangkiti mencecah 5,698 kes, menurut angka rasmi lewat Khamis.

Pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember lalu, virus yang dikenali sebagai COVID-19, merebak ke sekurang-kurangnya 175 negara dan wilayah, menurut data dikumpulkan Johns Hopkins University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Data menunjukkan lebih 586,000 kes jangkitan dilaporkan di seluruh dunia dengan angka maut mencecah 27,000 kes dan 131,000 kes telah pulih.

Itali, China, Iran dan Sepanyol antara negara mencatatkan kadar kematian paling tinggi.

Walaupun mencatatkan peningkatan jumlah kes, sebahagian besar mereka dijangkiti virus ini hanya mengalami gejala ringan dan pulih. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply