MAIWP BAKAL LATIH USAHAWAN B40 TERJEJAS AKIBAT COVID-19
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad untuk melaksanakan fasa pertama program kewangan sosial melatih kelompok B40 yang terjejas akibat COVID-19.
Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussein Alhabshee berkata pelaksanaan itu susulan arahan Perdana Menteri supaya majlis agama Islam negeri, institusi perbankan dan rakan pelaksana menjalankan program kewangan sosial membantu kelompok itu yang hilang mata pencarian akibat wabak itu.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu dalam Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam usaha menyeluruh kerajaan membantu kelompok B40 yang terjejas.
Syed Hussien berkata pengalaman sedia ada MAIWP dalam melatih asnaf akan membantu menjayakan program ini.
“Pada tahun 2019, MAIWP dengan kerjasama SME Corp telah merangka program “Asnafpreneur” untuk melatih usahawan di kalangan asnaf meningkatkan daya saing perniagaan mereka.”
“Kita dari semasa ke semasa telah melihat kemajuan program ini dan dijangka akan memberi kesan kepada usahawan berkenaan dengan sasaran pendapatan bulanan di peringkat awal antara RM10,000- RM20,000” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Hussein turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa teknikal terdiri daripada MAIWP, SME Corp dan Bank Islam Malaysia Berhad bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri itu dengan secepat mungkin.
“Jawatankuasa ini akan berperanan mengenalpasti bentuk bimbingan yang bersesuaian dan efektif untuk dilaksanakan kelak,” katanya.
MAIWP sebelum ini meluluskan peruntukan zakat RM25.11 juta dalam membantu golongan asnaf dan pihak memerlukan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19. – AlHijrah Online