
Sumber: MAIWP
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad meneruskan inisiatif menyantuni golongan asnaf menerusi program ‘make over’ atau projek tambah baik rumah di sekitar Wilayah Persekutuan.
Siri lawatan ketiga bagi projek tersebut telah berlangsung di kediaman asnaf yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak. Projek penambahbaikan rumah ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif yang telah dimulakan sejak bulan Ramadan yang lalu.
Syarikat Sun Life Malaysia Takaful Berhad, selaku pemegang wakalah yang bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP, telah menyalurkan peruntukan dana wakalah perniagaan berjumlah RM85,600 untuk manfaat lapan buah rumah keluarga asnaf.
Menerusi projek kerjasama ini, peruntukan yang disalurkan bukan sahaja memfokuskan kepada dana baik pulih rumah, malah ia turut disertakan dengan sumbangan Bakul Rezeki serta bantuan kewangan tunai.
Setiap keluarga asnaf menerima peruntukan keseluruhan bernilai RM10,700. Daripada jumlah tersebut, RM10,000 disalurkan untuk kerja-kerja penukaran barangan lama, mengecat dan pertukangan, sementara RM500 adalah sumbangan kewangan dan RM200 bagi sumbangan Bakul Rezeki.
Lawatan hari ini telah menyantuni keluarga Norkamalia Kasim, seorang ibu tunggal berpendapatan rendah yang hanya menjalankan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan. Beliau memikul tanggungjawab menyara dua orang anak serta menjaga seorang ibu warga emas yang terlantar akibat patah tulang belakang.
Selain sumbangan terbaharu ini, keluarga Norkamalia turut merupakan penerima bantuan sedia ada di bawah Bantuan Umum MAIWP, yang merangkumi bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan makanan asasi Boost, serta bantuan sewa rumah. MAIWP turut menyalurkan bantuan bulanan dan ‘one-off’ untuk keperluan kesihatan ibunya, termasuk kos lampin, susu, kerusi roda, dan katil perubatan.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi sumbangan tambahan kepada asnaf di samping mengukuhkan hubungan strategik di antara PPZ-MAIWP dan pemegang wakalah.
Sesi lawatan dan penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan, berserta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Noor Azam Mohd Yusof. – AlHijrah Online