TABUNG MASJID DAN SURAU BOLEH DIGUNA UNTUK BANTU AHLI KARIAH TERJEJAS PKP COVID-19

KUALA LUMPUR: Tabung masjid atau surau jika ianya bukan berbentuk sumbangan khusus boleh digunakan untuk ahli kariah yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Pejabat mufti berkenaan dalam kenyataan di sini hari ini berkata perkara itu diputuskan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam perbincangan khas berhubung penggunaan tabung masjid bagi membantu kesusahan ahli kariah susulan PKP yang diisytihar Kerajaan bagi menangani wabak Covid-19.

“Tabung masjid atau surau sekiranya bukan berbentuk tabung yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, pada asasnya merupakan wang derma yang disumbangkan oleh umat Islam dengan niat untuk kemaslahatan masjid atau surau dan ahli kariah.

“Maka ia boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada sesiapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.

“Inilah yang difahami daripada kenyataan Syeikh Zakaria al-Ansari yang menyebut: Sekiranya tidak, iaitu jika dia (orang yang memberikan duit) tidak menyertakan tujuannya, seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu).

“Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau dia boleh menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/480)

“Kaedah fiqh menyebut (كل متصرف عن الغير فعليه أن يتصرف بالمصلحة) iaitu setiap yang bertindak bagi pihak orang lain, hendaklah bertindak berasaskan maslahah,” kata kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Kenyataan itu berkata dalam suasana kesusahan dan kesempitan hidup yang berlaku dalam tempoh PKP yang sedang berkuatkuasa sehingga 14 April 2020, Ahli Jawatankuasa menetapkan bahawa penggunaan tabung masjid / surau adalah DIHARUSKAN dengan beberapa syarat.

Syarat berikut adalah dana kutipan itu bukan daripada tabung khas seperti tabung wakaf, tabung pembinaan masjid, tabung anak yatim dan sebagainya; sumbangan yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada kemampuan masjid / surau; dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan dengan kaedah dan pemantauan yang rapi oleh Pengurusan masjid / surau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang besar untuk penyumbang dan penderma kepada tabung masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan khasnya dan seluruh negara amnya.

“Mudah-mudahan usaha murni ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesusahan ahli kariah masjid dan surau berkenaan.

“Sekaligus ia menjadi amal kebajikan seluruh umat Islam yang akan diganti oleh Allah swt dengan melepaskan umatnya daripada ujian musibah Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini,” kata kenyataan itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply