COVID-19: SERBIA KUATKUASA PERINTAH BERKURUNG WAKTU MALAM

Last Updated on

BELGRADE: Serbia menguatkuasakan perintah berkurung waktu malam bagi membendung penularan wabak koronavirus berkuatkuasa semalam, demikian lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Aleksandar Vucic dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen meminta individu berusia 60 tahun ke atas tidak keluar dari rumah pada setiap masa.

Perintah berkurung waktu malam itu akan dikuatkuasakan dari jam 8 malam hingga 5 pagi setiap hari.

“Kita hanya boleh mengatasi masalah ini dengan langkah-langkah serius. Anda tidak boleh menyembuhkan kanser dengan aspirin,” katanya.

Beliau berkata kawasan sempadan, hospital dan pusat imigresen akan dikawal pasukan tentera.

Pilihan raya umum dan tempatan yang dijadualkan 26 April ini juga akan ditangguhkan, kata Vucic.

Serbia mengisytiharkan darurat pada Ahad lalu.

Negara itu juga menutup pintu sempadannya kepada warga asing, sesi pengajian di sekolah dan kolej digantung sementara dan dewan sukan serta pusat senaman ditutup.

Program belajar di rumah di Serbia bermula pada Selasa pagi. Serbia setakat ini mengesahkan 83 kes koronavirus.

Virus yang muncul di Wuhan, China, Disember lalu, kini merebak ke sekurang-kurangnya 164 negara dan wilayah di seluruh dunia, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik dan datanya menunjukkan terdapat lebih 194,000 kes disahkan positif dan hampir 7,900 kematian direkodkan di seluruh dunia pada petang Rabu.

COVID-19, penyakit yang disebabkan oleh koronavirus baharu, tidak membawa maut dalam semua kes dengan sebahagian besar pesakit pulih sepenuhnya. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply