SOLAT JUMAAT ESOK DITIADAKAN – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Solat Jumaat esok ditiadakan bagi membendung penularan wabak penyakit COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan, jabatan agama Islam negeri-negeri dan arahan pihak kerajaan bagi memutuskan rantaian penyakit yang mengancam rakyat negara ini.

“Menjadi kewajiban kepada orang Islam yang cukup syarat untuk solat Jumaat akan tetapi dalam kes hari jumaat esok, sebagaimana diputuskan muzakarah fatwa kebangsaan, kebanyakan negeri-negeri dan arahan pihak kerajaan, makanya solat jumaat ditiadakan.

“Jesteru, sama ada di masjid atau surau Jumaat, dihentikan solat Jumaat sehinggalah 31 Mac.

 “Tujuannya, tak lain tak bukan apabila kita ingin memutuskan rantaian penyakit yang kita panggil COVID-19 ini. Semoga ianya (wabak COVID-19) berlangsung dan berlalu pergi dari kamus kehidupan rakyat Malaysia ini, InshaAllah,” katanya dalam Pesanan Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dimuatnaik di laman Facebook beliau jam 7.30 malam tadi.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang antara lain meliputi larangan keluar masuk ke Malaysia, penutupan sekolah dan universiti selain penutupan premis kerajaan dan swasta yang tidak kritikal.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, 110 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan keseluruhan 900 kes jangkitan wabak itu di negara ini.

Zulkifli berkata susulan pembatalan solat Jumaat itu, semua umat Islam digesa mematuhi arahan dikeluarkan dan menggantikan solat zohor di rumah dan dengan keluarga masing-masing.

“Niat kita untuk melaksanakan kebaikan dan apa yang diputuskan itu sebenarnya satu hal yang terbaik, bahkan itulah semestinya untuk kita patuhi kerana manfaat maslahat yang cukup besar,” katanya menjelaskan azan akan tetap dilaungkan sepertimana syiar Islam tetapi dengan sedikit penambahan meminta umat Islam solat di rumah.

Pesanan penuh Zulkifli di https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3182382115158902&id=654227084641097 – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply