CUBAAN LELAKI RAGUT RANTAI WARGA EMAS GAGAL

GOMBAK: Polis sedang mengesan lelaki yang melakukan cubaan meragut rantai leher lelaki warga emas dengan menaiki motosikal, di laluan masuk ke Pangsapuri Angsana, Taman Raintree, Batu Caves, Selangor.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan video berhubung kejadian yang tular di media sosial, hari ini.
Katanya hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 3 Ogos kira-kira jam 12.08 tengahari.
“Semasa pengadu yang berusia 71 tahun itu sedang menaiki motosikal tiba di lokasi kejadian, dia telah ditahan oleh suspek yang bangsanya tidak dikenal pasti dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC.
“Suspek telah berpura-pura bertanya kepada pengadu, dan semasa berbual suspek menarik rantai emas milik pengadu tetapi tidak berjaya dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek masih diteruskan.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan boleh hubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi pegawai Inspektor Nor Adiba Mohamad Nordin menerusia talian 03-6126222 atau 012-8819215,” katanya.—AlHijrah Online