DAKWAAN LANGGAR S.O.P.: AZMIN ALI AKAN DIPANGGIL BERI KETERANGAN

PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dipanggil memberi keterangan pada polis berhubung dakwaan ahli keluarganya merentas daerah untuk berkumpul menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali berkata, turut termasuk ahli keluarganya, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kediaman beliau juga pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali yang membuat hantaran tersebut, akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

Menurutnya, polis menerima satu laporan pada jam 3 petang berkenaan hantaran di akaun Facebook Ummi Hafilda Ali yang telah tular di media sosial serta mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Azmin Ali merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut. Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada 13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya.

Kejadian tersebut didakwa berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 13 Mei di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply