KONTRAKTOR DIKOMPAUN RM4,000 TERIMA KUNJUNGAN TETAMU BERAYA

PEKAN: Polis mengenakan kompaun RM4,000 kepada seorang kontraktor kerana membenarkan kunjungan tetamu ke rumahnya sempena Hari Raya Aidilfitri, di Felda Chini 2, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata, tindakan dikenakan susulan sebuah video tular memaparkan rumah individu yang berusia 45 tahun itu sedang melakukan aktiviti kunjung-mengunjung.

Ujarnya, berdasarkan video tersebut, kelihatan beberapa individu lain yang berada dalam kediaman tersebut sedang makan dan bersembang sedangkan aktiviti berkenaan tidak dibenarkan.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan lelaki tersebut pada Jumaat dan menghubunginya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu tampil dan mengaku bersalah sebelum tindakan kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021 kerana tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan serta bersama-sama membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah mengeluarkan arahan bahawa aktiviti ziarah hari raya tidak dibenarkan, termasuk aktiviti menziarahi tanah kubur serta rumah terbuka atau majlis jamuan Hari Raya.–AlHijrah Online

Leave a Reply