DENGAR BISIKAN GHAIB SURUH BALING BATU NISAN KE DALAM MASJID

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang ditahan polis kerana melakukan perbuatan khianat di dua masjid dan tiga tanah perkuburan Islam di kawasan Sungai Kob di sini sejak tahun lepas, mendakwa dirinya mendengar bisikan suara ghaib untuk bertindak sedemikian.

Suspek berusia 30-an itu ditahan di Taman Mutiara di sini pada Selasa lalu dan direman sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang tidak bekerja memiliki enam rekod dadah dan tiga rekod jenayah.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine, selain turut merampas dadah jenis heroin ketika menahan lelaki itu.

“Punca kejadian adalah dari pengaruh dadah dan suspek mengatakan mendengar ‘bisikan’ mendesak melakukan perbuatan khianat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama, katanya.

ARTIKEL BERKAITAN – LELAKI PECAH CERMIN MASJID GUNA BATU NISAN KUBUR DIBURU POLIS

Sebelum ini, AlHijrah Online melaporkan polis mengesan seorang lelaki yang bertindak memecahkan tingkap cermin masjid dengan menggunakan batu nisan di Masjid Al Ittihad Sungai Kob, di sini.

Kejadian tersebut disedari seorang ahli kariah masjid yang mahu menunaikan solat Subuh di masjid tersebut.—AlHijrah Online

Leave a Reply