DENGAR: TERSENTUH KISAH ‘WANITA LORONG’, JAKEL SUMBANG RM68,000 BANTU MULA HIDUP BARU

KUALA LUMPUR: Tersentuh dengan kisah responden program Dengar, Kak Ida yang mahu keluar dari ‘lorong gelap’ di Chow Kit, Kuala Lumpur, Syarikat tekstil Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) tampil untuk menghulurkan sumbangan kepada wanita berkenaan.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Jakel, Mohd Fuad Ahmad berkata, Jakel akan memberikan sumbangan keseluruhan RM68,000 kepada wanita berusia 49 tahun yang turut menderita barah payudara tahap empat.

“Bila saya melihat program Dengar ini dan cerita Kak Ida dari segi pengalaman dan kepayahan beliau untuk meninggalkan ketagihan serta ujian kanser tahap empat, Jakel akan menyumbang sebanyak Rm20,000 bagi membantu beliau dalam proses rawatan.

“Jakel juga akan memberikan bantuan sara hidup buat Kak Ida sebanyak RM2,000 setiap bulan selama 2 tahun,” katanya ketika dihubungi pada program Dengar Khamis lalu.

Kak Ida yang merupakan bekas pekerja seks dan penagih dadah dijemput sebagai responden Dengar untuk menarik sokongan dan bantuan kepadanya memulakan hidup baru.

Kata Mohd Fuad, mewakili Kumpulan Jakel, beliau berharap Kak ida akan terus cekal, cepat sembuh dari penyakitnya dan melawan ketagihan dadah.

“Kami doakan Kak Ida kuat semangat kerana badan kita kena beritahu otak pemikiran bahawa kita boleh menang.

“Kita kena lawan sampai berjaya,” katanya.

Kak Ida dalam pada itu berkata beliau berjanji akan menggunakan sebaiknya sumbangan yang disalurkan Jakel.

“Terima kasih banyak-banyak kerana sudi menderma tolong Kak Ida.

“Kak Ida akan buktikan, Kak ida akan berubah,” katanya sebak.

Mereka yang terlepas menyaksikan kisah menyayat hati Kak ida boleh disaksikan di laman Facebook rasmi TV AlHijrah. — AlHijrah Online

Leave a Reply