DENGAR SATUKAN ‘WANITA LORONG’ DENGAN ANAKNYA

KUALA LUMPUR: Episod Dengar minggu ini membawakan responden yang dikenali sebagai Kak Ida, ‘wanita lorong’ yang mahu dipimpin keluar dari lorong hitam yang mengheretnya ke dunia dadah dan pekerja seks.

Dari awal program, Kak Ida berulang kali merayu untuk ditunjuk arah ke jalan yang ‘cerah’ dan diredhai Allah SWT.

Kak Ida yang juga menghidap kanser tahap empat sebelum ini pernah dibantu dan dirawat di Pusat Pemulihan Dadah di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2017, namun kembali semula ke lorong gelap tidak lama selepas selesai program pemulihan.

Dakwa Kak Ida, masalah peribadi selain pergaulan antara punca dia kembali ke lorong hitam di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Katanya sukar untuk dia pulih jika tiada tangan yang memimpin dan inisiatif para ustaz memberi ceramah didakwa kurang memberi kesan.

Pun begitu Kak Ida berkata dia kini sudah ‘letih’, dan mahu berubah untuk kembali dekat dengan anak-anaknya.

“Sebenarnya sudah tiada jalan yang lebih baik daripada berubah. Saya sudah letih,” katanya dengan nada sebak.

Dia juga memaklumkan ada berlaku perselisihan faham antara dirinya dan anak-anak hingga menyebabkan mereka tidak berhubung selama beberapa bulan.

“Kak Ida sayangkan anak-anak dan menantu semua baik.

“Anak pun pernah cakap dan tiba masanya untuk saya berubah,” katanya sambil menangis ketika siaran langsung program Dengar pada Khamis lalu.

Kak Ida juga berjanji dia akan melawan semua godaan untuk kembali ke lorong gelap demi anak-anak.

“Mak, kalau betul mak nak berubah, bukak sebab kami tapi sebab Allah. Kita tak pernah fikir buruk tentang mak kita cuma nak mak berubah,” kata Nina, anak sulung Kak Ida yang dihubungi secara langsung tanpa diketahui Kak Ida ketika program berkenaan.

Menurut Nina, hampir enam bulan beliau tidak berjumpa dengan emaknya itu.

“Mak, Nina minta maaf, kalau selama ini Nina selalu sakiti hati mak. Nina sayang mak. Nina tiada niat pun nak sakiti hati mak Nina tak pernah buang mak tapi Nina kecewa,” kata Nina sambil menangis.

Sementara itu Pendakwah, Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek yang dijemput sebagai tetamu Dengar berkata, kisah Kak Ida ini perlu dijadikan tauladan.

Katanya anak-anak perlu cekal dan tidak mudah putus asa dengan ibu bapa walau apa yang berlaku.

“Dengan mak tidak boleh putus asa. Jika mereka diuji dengan sakit kita tidak boleh putus asa jaga mak yang sakit.

“Dengan orang tua kita kena bersabar. Mak ayah ujian bagi anak-anak pula ketika mereka tua. Dia sakit, dia penagih apa saja pun tolonglah dia adalah syurga buat kita,” katanya.

Kagum dengan semangat Kak Ida yang mahu berubah, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya sedia membantu Kak Ida dari sudut agama mahupun kewangan.

“Kak Ida tergolong sebagai Asnaf Al-Riqab kita boleh bantu. Bantuan yang paling cepat adalah Jawi Food Bank.

“Selepas ini kita akan berjumpa dengan Kak Ida untuk melihat apa keperluan yang diperlukan dan kita akan membantu,” kata Mohd Ajib.

AADK juga memaklumkan sedia membantu proses ketagihan Kak Ida dan krew produksi Dengar pada masa akan datang akan melaporkan keadaan terkini Kak Ida selepas dihulur tangan untuk dibimbing keluar dari lorong hitam.

Anda yang terlepas untuk menyaksikan program Dengar boleh menonton di laman Facebook rasmi Tv Alhijrah. — AlHijrah Online

Leave a Reply