GUNA MYBAYAR SAMAN DAPAT PENGURANGAN BAYARAN SEHINGGA 50 PERATUS

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus jika pesalah trafik membayarnya melalui portal atau aplikasi ‘MyBayar Saman’ bermula hari ini hingga 11 April 2021.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pembayaran melalui aplikasi yang baru dilancarkan itu juga dapat memudahkan mereka untuk membayar saman dengan lebih cepat dan mudah.

“Dengan wujudnya MyBayar Saman, ia akan mengurangkan kebergantungan JSPT (Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik) kepada ejen kutipan swasta dan meningkatkan lagi kecekapan sistem perkhidmatan JSPT kepada orang ramai.

“Pengguna boleh membayar saman tanpa had masa dan sempadan, selain tidak dikenakan sebarang caj,” katanya pada majlis pelancaran sistem MyBayar Saman di Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Pun begitu tawaran pengurangan bayaran itu tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

MyBayar Saman diwujudkan bagi menyokong dasar kerajaan melalui pelan strategik e-pembayaran sektor awam dan pelan pelaksanaan peningkatan dalam talian kerajaan secara end to end.

Ia juga selaras dengan inisiatif kerajaan dalam menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022.
Pendaftaran MyBayar Saman boleh dibuat di https://mybayar.rmp.gov.my atau daftar di aplikasi MyBayar Saman yang boleh dimuat turun di Google Playstore atau Apple Store. – AlHijrah Online

Leave a Reply