DUA ANAK KANDUNG DIJADIKAN ‘HAMBA SEKS’ BAPA SELAMA TUJUH TAHUN

MELAKA: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 28 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii serta amang seksual terhadap anak kandung sendiri berusia 15 dan 19 tahun.

Suspek berusia 56 tahun membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Menurut pertuduhan, suspek didakwa merogol kedua-dua mangsa sejak berusia 12 tahun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa dengan enam pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa dan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bapa durjana itu turut didakwa lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Tertuduh juga mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang mana bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sementara Seksyen 16 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Memetik laporan Sinar Harian, kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah antara 24 September 2015 hingga 5 September 2022.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya dengan menyatakan mahu membunuh mangsa dan anak-anak.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Namun kedua-dua hakim menangguhkan keputusan pada Selasa untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Supt Nora Yaacob dalam pendakwaan berasingan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman.

Sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu kepada mahkamah dia tidak mempunyai wang untuk membayar jaminan selain menghidap sakit kronik termasuk darah tinggi.—AlHijrah Online

Leave a Reply