DULU JUAL PINTU KE PINTU, KINI ADA SYARIKAT EMAS

KUALA LUMPUR: Bermula dengan hanya meniaga dari pintu ke pintu premis kediaman dan perniagaan, Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh tidak menyangka syarikat Tun Emas Sendirian Berhad dimulakannya pada 2009 berjaya menjadi antara pemain industri emas yang dikenali.

Syarikat yang beroperasi di Kuala Nerang itu juga kini mempunyai ribuan pelanggan yang meminati pelbagai koleksi barangan emas dengan reka bentuk terkini serta berkualiti yang ditawarkan Tun Emas.

Ku Mohd Fikri berkata minatnya dalam jualan emas didorong oleh ibunya Nozhatunsima Ghazali melihat potensi dalam industri berkenaan.

Beliau kemudian membuat perancangan perniagaan membina Tun Emas dengan modal permulaan yang rendah sehingga berkembang menjadi sebuah syarikat yang berjaya.

Namun, Ku Mohd Fikri berkata syarikatnya tetap berdepan cabaran perniagaan termasuk penurunan harga emas dan persaingan harga sengit pada 2014.

Bagaimanapun, beliau dan pasukan berjaya melaksanakan perancangan strategik untuk memastikan Tun Emas kekal relevan dan menjadi pilihan pembeli.

Kecemerlangan Tun Emas dalam bidang perniagaan menyaksikan syarikat itu menerima Anugerah dari World Muslimpreneur.

Pengiktirafan itu diharap akan melonjakkan lagi perniagaan Tun Emas dan Ku Mohd Fikri berkata pasukannya akan sentiasa menambah baik produk jualan dan perkhidmatan pelanggan.

Ku Mohd Fikri turut berpesan kepada para usahawan untuk kekal bersemangat dalam perniagaan, bijak merencana strategi perniagaan, dan tabah mengharungi cabaran. – AlHijrah Online

Leave a Reply