EBIT LEW MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS 11 PERTUDUHAN BERKAIT GANGGUAN SEKSUAL

TENOM: Pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, Sabah hari ini.

Ebit, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

ARTIKEL BERKAITAN – EBIT LEW DIDAKWA 11 PERTUDUHAN TERMASUK BERKAITAN GANGGUAN SEKSUAL

Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

Nur Asyraf kemudian menetapkan 20 April hingga 23 April depan sebagai tarikh perbicaraan dan Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya menyiasat dan menjalankan pertuduhan terhadap Ebit susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

“Sebanyak 11 pertuduhan telah dituduh di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

“Kesemua pertuduhan-pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan,” katanya dalam sidang media, hari ini.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply