EMPAT INDIVIDU TERMASUK WARGA ASING DITAHAN GUNA IDENTITI BERBEZA DAFTAR MYSEJAHTERA

MELAKA: Polis menahan empat individu termasuk tiga warga asing selepas disyaki menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan antara jam 2.30 petang hingga 7.20 malam.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang wanita warga asing yang ingin mendapatkan dos kedua di sebuah klinik di Bandar Hilir, jam 2.30 petang hari yang sama.

Sundra berkata, semakan polis di lokasi tersebut mendapati maklumat yang didaftarkan di aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek adalah milik individu lain.

“Polis kemudian merampas satu kad vaksinasi atas nama suspek dan satu kad bertulis ‘Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass’ dipercayai palsu selain salinan kad pasport yang telah tamat tempoh dan sebuah telefon bimbit.

“Susulan tangkapan pertama, polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan di sebuah rumah pada hari sama,” katanya.

Jelas Sundra, kesemua suspek yang berusia 35 hingga 40 tahun direman sehingga 27 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan identiti lain.

“Kesemua warga asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas Imigresen yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya,—AlHijrah Online

Leave a Reply