FASA SATU PELAN PEMULIHAN NEGARA BERJAYA TURUNKAN KES HARIAN COVID-19

Sumber: ARKIB BERNAMA

KUALA LUMPUR: Fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara menyeluruh menunjukkan perkembangan positif dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dapat dibuktikan melalui kes harian positif COVID-19 dapat diturunkan daripada rekod tertinggi lebih 9,000 kes kepada 5,419 kes setakat semalam dan beliau berharap kes harian ini akan terus menunjukkan penurunan.

“Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut COVID-19. Pelan ini mengambil kira semua pertimbangan bagi memastikan keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.

“Fasa pertama PKP menyeluruh ini terpaksa dilaksanakan susulan peningkatan kes mendadak yang mengancam sistem kesihatan awam. Justeru, kerjasama anda semua amat diperlukan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini,” katanya.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan bahawa Pelan Pemulihan Negara yang dijalankan secara berfasa itu akan membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Menurutnya, sektor sosial serta ekonomi termasuk aktiviti perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik akan dibuka secara berperingkat, dijangka pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara pada September nanti.–AlHijrah Online

Leave a Reply