TIDAK ADA KEPERLUAN DARURAT SELEPAS 1 OGOS 2021 – RAJA-RAJA MELAYU

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata pandangan itu telah dizahirkan Raja-Raja Melayu ketika mengadakan perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini di Istana Negara.

“Dalam perjumpaan tersebut, Raja-Raja Melayu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati.

“Ia agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana dan pada setiap masa melindungi kemuliaan dan kedaulatan takhta pemerintahan, kekal berkecuali dan bebas daripda dilihat dan ditafsirkan berpihak kepada mana-mana individu atau kumpulan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja-Raja Melayu turut sependapat nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain dan program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

Selain itu Raja-Raja Pemerintah berpendirian program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami dan mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

Baginda-baginda juga bersetuju kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif selain suhu politik yang semakin panas wajib diredakan dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif, dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Dalam semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang,” kata Syed Danial.

Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus COVID-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini. — AlHijrah Online. — AlHijrah Online

Leave a Reply