GEMPA TURKI: KANAK-KANAK EMPAT TAHUN DITEMUI HIDUP SELEPAS 91 JAM TERPERANGKAP

Ayda ketika ditemui pasukan penyelamat. Sumber: Twitter

IZMIR: Tular di seluruh dunia hari ini berikutan penemuan seorang kanak-kanak comel perempuan yang masih hidup, selepas 91 jam terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat di Izmir.

Kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Ayda Gezgin, mencuri perhatian selepas rakaman usaha menyelamatnya oleh pasukan keselamatan tular di seluruh dunia.

Ayda ditemui dalam keadaan masih sedar dan tidak menangis, namun matanya melihat keadaan sekeliling, ketika diusung sebelum dibawa ke Hospital Universiti Ege.

Sentuhan erat ketika Ayda dikesan di bawah runtuhan. Sumber: Twitter
Sumber: Twitter

Ketika dia ditemui, Ayda berada dalam keadaan ketakutan namun tidak menangis. Sebaik ditemui di bawah runtuhan juga, Ayda dikatakan enggan ditinggalkan bersendirian dan mahu pasukan penyelamat bersamanya sementara menanti bantuan tiba untuk mengeluarkannya.

Sementara itu dalam rakaman video yang penuh dramatik dan menyentuh hati, anggota pasukan keselamatan dilihat bertanyakan apa yang Ayda inginkan ketika itu.

“Apa yang kamu mahu sekarang?”, soal petugas penyelamat.

“Saya mahu makan”, jelas Ayda.

“Kamu mahu makan apa?”, tanya petugas penyelamat lagi.

“Saya mahu bebola daging dan minuman yogurt dengan air,” ujar Ayda.

Difahamkan, petugas penyelamat berkenaan serta-merta berusaha mendapatkan apa yang diingini Ayda.

Ayda adalah individu ke-107 yang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan struktur bangunan selepas gempa bumi 7.0 richter menggegar Izmir, kelmarin.

Petugas yang menyelamatkan Ayda saling berpelukan sebagai tanda syukur. Sumber: Twitter
Sumber: Twitter

Penemuan kanak-kanak berkenaan dibuat ketika operasi mencari dan menyelamat dibuat di Bayrakli, barat bandar Izmir.

Sementara itu, sehingga laporan ini ditulis, jumlah korban akibat gempa bumi kuat itu mencecah 105 orang. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply