GURU, KANAK-KANAK CEDERA KERETA REMPUH TASKA

KEMAMAN: Seorang guru dan seorang dua kanak-kanak cedera selepas sebuah kereta jenis Proton Exora merempuh dinding Taska Kasih Bonda di Pengkalan Sir di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi tadi, mangsa Nurul Ain Idris, 31, cedera pada bahagian lutut.

Dua anak asuhannya yang masing-masing bayi lelaki berusia setahun dan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pula luka pada bahagian badan, tangan dan kepala.

Pelanggaran tersebut menyebabkan sebahagian dinding taska runtuh dengan separuh kenderaan Proton Exora masuk ke dalam premis jagaan kanak-kanak itu.

Dua mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati kenderaan Proton Exora itu milik seorang pesara kerajaan yang menetap berhadapan premis taska tersebut

Lelaki berusia 72 tahun itu dipercayai tertekan pedal minyak sewaktu mengundur kenderaan menyebabkan dia hilang kawalan lalu kenderaan merempuh taska itu.

Ujar Hanyan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987. — AlHijrah Online

Leave a Reply