HAMPIR 6,000 PELAJAR MALAYSIA DI MESIR, KEBANYAKAN DALAM BIDANG PENGAJIAN ISLAM

KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar Malaysia yang sedang menuntut ilmu di Mesir ketika ini mencecah hampir 6,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebahagian besar daripada pelajar tersebut sedang mengikuti pendidikan dalam bidang pengajian Islam.  

“Saya amat berbesar hati dapat mengadakan pertemuan bersama para pelajar Malaysia di Mesir sempena dengan lawatan rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Dalam pertemuan ini saya telah menyampaikan gagasan Membangun Malaysia Madani yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga satu ikhtiar kenegaraan bagi menterjemahkan prinsip-prinsip terunggul ke arah kesejahteraan dan keharmonian rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook selepas pertemuan dengan pelajar Malaysia di Mesir.

Menurut beliau Al-Azhar Al-Sharif merupakan sebuah institusi agama dan pendidikan Islam ternama di Mesir yang ditubuhkan lebih 1,000 tahun yang lalu dan sentiasa konsisten dengan pendekatan wasatiyyah dalam menjelaskan kesucian dan keaslian agama yang menjadi asas ketamadunan dan kemajuan ummah.

Ianya sekaligus menyebar dan mempertahankan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berlandaskan manhaj wasatiyyah yang menjadi panduan dan pegangan umat Islam dalam menghadapi cabaran dan arus pemikiran semasa.

“Oleh yang demikian, kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat berharap anak-anak para pelajar Malaysia di Mesir akan tampil menjadi sebagai pendakwah yang menyampaikan ilmu dan membawa mesej-mesej kesederhanaan  kepada masyarakat di negara Malaysia. 

“Perkara ini amat penting untuk kita menangani isu-isu pemikiran ekstrem yang amat berbahaya dalam masyarakat.” katanya. — AlHIjrah Online

Leave a Reply