HASRAT PETUGAS BARISAN HADAPAN BERTUNANG TIDAK KESAMPAIAN

KUBANG PASU: Hasrat seorang petugas barisan hadapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kubang Pasu untuk melangsungkan majlis pertunangan sebelum Ramadan ini tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 22.1 Lebuhraya Utara Selatan Jalan Alor Setar, Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu mangsa Nur Fariesha Alia Azizan, 23, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas dengan memandu kereta Perodua Viva.

Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dikatakan terbabas dan gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar bahagian tengah sebuah treler.

Nur Fariesha dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut bakal tunang mangsa, Muhammad Amirul Rusli, 37, yang juga anggota APM Kubang Pasu, Nur Fariesha baru selesai bertugas di Stesen Kuarantin COVID-19 Institut Aminuddin Baki di Kubang Pasu pada jam 8 malam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Resak, Changlun.

Jenazah Nur Fariesha Alia akan dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Gelam, Jitra untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hijrah selepas Asar pada Isnin. — AlHijrah Online

Leave a Reply