BALING KAD PENGENALAN DAN LESEN MEMANDU, MAKI POLIS DI SJR

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengeluarkan kata-kata kesat serta tidak memberi kerjasama terhadap anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jawi, pada 18 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, individu berusia 28 tahun itu memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke Bagan Serai, Perak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Lee Chong Chern berkata, suspek gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri semasa ditahan dalam SJR berkenaan.

“Lelaki berkenaan bertindak agresif dengan membaling kad pengenalan dan lesen memandu ke arah anggota bertugas.

“Anggota bertugas terus menahan selepas individu tersebut bertindak sedemikian, tidak memberi kerjasama serta menghalang petugas menjalankan tugas,” katanya.

Tambah Chong Chern, lelaki berkenaan mengeluarkan perkataan kesat semasa proses tangkapan dibuat.

Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod rawatan mental di Hospital Taiping sehingga kini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu tular di media sosial video lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, namun anggota berkenaan masih tenang dan mengawal keadaan yang tegang.—AlHijrah Online

Leave a Reply