68 PETUGAS PENGURUSAN JENAZAH COVID-19 TERIMA PENGHARGAAN

KUALA LUMPUR: Sejumlah 68 individu dari Pasukan Khas Petugas Pengurusan Jenazah COVID-19 di Wilayah Persekutuan menerima sumbangan dan penghargaan hari ini.

Sumbangan disampaikan berupa wang tunai, insentif bulanan dan barangan keperluan asas dari JAWI Food Bank yang diberikan sebagai penghargaan di atas khidmat bakti dan komitmen tinggi para petugas pengurusan jenazah.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah COVID-19 itu ditubuhkan sejak Mac tahun lalu yang dianggotai oleh pengurus jenazah terlatih dan berpengalaman dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAWI, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Negara.

“Sehingga penghujung Februari 2021, pasukan tersebut telah menguruskan 214 jenazah COVID-19 dalam usaha melunaskan tuntutan fardu kifayah melibatkan kemaslahatan umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Sebanyak sembilan hospital dan pusat perubatan yang telah menerima khidmat Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 ini termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang (HA), Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ), Institut Kanser Negara (IKN) dan Hospital Labuan,” jelas kenyataan JAWI.

Sumbangan dan penghargaan kepada 68 petugas pengurusan jenazah COVID-19 tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan turut dihadiri Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Azizi Jusoh, dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail. — AlHijrah Online

Leave a Reply