JUMLAH RAKYAT JATUH MISKIN MENINGKAT

KUALA LUMPUR: Disebalik pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan semasa pandemik COVID-19, masih ramai lagi yang menanggung kesusahan.

Lebih menggusarkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik COVID-19 meningkat.

“Ini berita yang tidak menggembirakan saya. Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40.

“Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita,” katanya ketika berucap sempena Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Tambahnya, kabinet juga telah membincangkan secara mendalam masalah kemiskinan yang sedang berlaku dan meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan, syarikat jaminan kerajaan (GLC), badan-badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasi masalah kemiskinan.

“Program pembasmian kemiskinan akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dalam usaha memulihkan ekonomi akibat COVID-19, kerajaan akan merangka beberapa langkah tambahan dalam tempoh terdekat iaitu menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan dam meningkatkan sokongan kepada perniagaan.

Selain itu usaha memulihkan ekonomi akan memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam seperti mengurangkan karenah birokrasi dan memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan. — AlHijrah Online

Leave a Reply