VAKSIN COVID-19: TAWAKAL ADALAH KEIMANAN, USAHA ADALAH KETAATAN

KUALA LUMPUR: Terdapat golongan berpendapat bahawa pengamalan makanan-makanan sunnah seperti habatus sauda, madu dan sebagainya dapat menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak COVID-19.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramli makanan-makanan sunnah tersebut masih boleh diamalkan bagaimanapun pengambilan vaksin COVID-19 perlu diambil untuk merendahkan risiko kadar jangkitan berlaku.

Tambahnya, keberkesanan vaksin tersebut perlu diserahkan kepada mereka yang pakar dalam bidang perubatan yang telah membuat kajian.

“Saya rasakan pakar-pakar perubatan yang amanah dalam ilmu mereka, yang merupakan orang Muslim yang baik, maka kita percaya dengan mereka untuk mengkaji dalam bidangnya.

“Kita amalkan kesemuanya, amalkan kesemua sunnah yang ada, daripada kita hanya menjuzuk-juzukkan sunnah dan memilih dan mana yang baik itulah sunnah,” katanya dalam program Analisis di TV AlHijrah.

Mengulas lanjut, Rozaimi turut menyatakan Nabi Muhammad SAW turut mengambil langkah berjaga-jaga walaupun sudah dijamin Allah SWT bahawa baginda akan selamat dalam peperangan.

“Allah Ta’ala jamin Nabi SAW selamat daripada bahaya, tak dibunuh, tak ditangkap, tapi Nabi SAW pergi perang pakai helmet dan baju besi juga.

“Sebab itu kata Ibnu Rajab, tawakkal adalah keimanan, usaha adalah ketaatan,” katanya.

Dalam pada itu, Rozaimi menasihati masyarakat terutama orang Islam untuk memahami perkara tersebut (amalan makanan sunnah) bukan hanya semata-mata tawakal, malah perlu berusaha sebagai satu ketaatan kepada Allah SWT.—AlHijrah Online

Leave a Reply