HENTIKAN PEPERANGAN POLITIK, TIDAK PERLU BERHIMPUN DI JALANAN – TPM

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hentikan peperangan politik buat sementara waktu, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani isu rakyat serta COVID-19 yang melanda negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah membantu rakyat yang terkesan, bukannya berbalah yang akhirnya merugikan negara.

“Sudah berulang kali saya katakan, tidak kira dari parti mana sekali pun, fokus kita kepada isu mendesak sekarang ini iaitu COVID-19, isu rakyat tiada pendapatan. Ini masalah lebih besar daripada apa yang bising hari ini.

“Sebab itu saya kata, lupakan peperangan dalam politik, yang penting kita kena bersama tidak kira dari parti mana, bantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berpendapat tiada keperluan untuk melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa mendengar suara dan pandangan rakyat.

Jelasnya, tindakan mengadakan perhimpunan di tempat awam hanya mengundang peningkatan risiko penularan COVID-19.

“Kita mendengar suara di mana-mana sekali pun. Kita mengambil perhatian setiap pandangan rakyat, bukan hanya daripada protes di jalanan malah Parlimen yang bersidang baru-baru ini di mana fokusnya untuk menyelesaikan isu rakyat dan COVID-19.

“Kita mahu mendengar pandangan daripada Ahli Parlimen mengenai cadangan untuk rakyat kerana inilah peluang wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply