POLIS PANGGIL SEMUA PIHAK TERLIBAT PERHIMPUNAN #LAWAN

Antara tangkap layar sebuah video perhimpunan #LAWAN yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, perhimpunan itu jelas melanggar peraturan selepas seramai 400 orang peserta telah menyertai perhimpunan tersebut walaupun ia berlangsung secara aman.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Mohamad Zainal mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di mana kesemua peserta perhimpunan itu memakai pelitup separuh muka tetapi gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Jarak fizikal agar sukar dikawal kerana adakalanya kita terlupa, rapat antara satu sama lain. Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam perhimpunan itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN – DEMONSTRASI KETIKA PANDEMIK BERISIKO CETUS KLUSTER BAHARU

Pihaknya juga telah menempatkan seramai 300 pegawai dan anggota polis bagi mengawal perhimpunan itu.

Sebelum ini peserta perhimpunan itu menyasarkan Dataran Merdeka sebagai tempat berhimpun namun polis berjaya menghalang mereka sebelum memasuki kawasan tersebut.

“Oleh yang demikian, mereka mengadakan perhimpunan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kami telah beri mereka masa untuk bersurai,” katanya.

Jelasnya, tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply