‘HIJRAH PRIHATIN’ DINOBAT CSR TERBAIK ANUGERAH PERNIAGAAN TERBAIK MALAYSIA 2023

KUALA LUMPUR: Saluran TV Islam pertama tanah air, TV Alhijrah menerima Anugerah Khas bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik, pada Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2023 menerusi program ‘Hijrah Prihatin’.
Pengikitrafan itu diterima atas usaha gigih skuad berkenaan membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik menerusi siri bantuan berterusan.
Hadir menerima penganugerahan itu, Suffian Yahya, selaku Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV Alhijrah.
Sijil dan trofi disampaikan oleh Pengerusi MBBA, Shahir Adnan kepada Suffian, yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.
Menurut Suffian, skuad Hijrah Prihatin sentiasa menekankan kesatuan insaniah di samping menyantuni dan mendekati masyarakat, tanpa mengira bangsa, tempat dan waktu.
“Syabas kepada kakitangan TV Alhijrah khususnya skuad Hijrah Prihatin atas titik peluh mereka. Kami anggap ini sumbangan kepada penonton-penonton TV Alhijrah dan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Kami terharu apa yang kami lakukan ini, masyarakat umum menerimanya,” jelas Suffian selepas menerima penganugerahan itu.
Acara gilang gemilang ini juga menyaksikan TV Alhijrah menerima sumbangan RM3,500 untuk tabung Hijrah Prihatin.

Sementara itu Shahir berkata, sumbangan itu bagi menyuntik semangat serta menyemarakkan lagi budaya tanggungjawab sosial korporat.
“Pada tahun ini, kita memilih Hijrah Prihatin daripada TV Alhijrah untuk kita berikan sumbangan dan sumbangan ini sebenarnya 5% daripada setiap penyertaan oleh usahawan-usahawan. Daripadanya, kita beri kepada Hijrah Pihatin untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” menurut Shahir.

Skuad Hijrah Prihatin ditubuhkan pada 2020, ketika negara pertama kali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun berkenaan, ekoran penularan virus pembunuh COVID-19 di seluruh dunia.– Alhijrah Online