HIMPUNAN: JANGAN SALAH GUNA MASJID, SURAU UNTUK AKTIVITI POLITIK KEPARTIAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — Foto fail / Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadikan institusi masjid dan surau sebagai gelanggang pertelagahan politik.

Katanya semua pihak diminta akur serta menghormati titah Tuanku-Tuanku Sultan agar masjid dan surau tidak disalahguna untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

“Saya ingin merujuk kepada usaha beberapa pihak yang sedang mengatur himpunan yang mempunyai kaitan dengan parti politik di ibu kota negara.

“Saya ingin menzahirkan rasa bimbang terhadap kecenderungan pihak-pihak tertentu yang menjadikan masjid dan surau sebagai platform awal untuk berhimpun yang tentunya boleh mengganggu gugat fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam.

“Selain itu, apabila institusi masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat selain mencemarkan institusi masjid dan surau sebagai zon bebas daripada politik kepartian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarahkan untuk membuat pemantauan kepada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan serta mengambil tindakan berpandukan lunas undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak melanggar peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Mohd Na’im berharap semua pihak menghormati agensi berautoriti demi menjaga kemuliaan institusi masjid dan surau serta menjamin kesejahteraan negara.

Semua pihak diseru agar tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang boleh mengundang perpecahan dan menimbulkan kegelisahan awam. — AlHijrah Online

Leave a Reply