HINA AGAMA: BACA BISMILLAH SEBELUM MAKAN BABI, ‘INFLUENCER’ INDONESIA DIPENJARA

PALEMBANG: Seorang pempengaruh media sosial di Indonesia dihukum penjara dua tahun selepas didapati menghina agama Islam.
Lina Mukherjee didapati bersalah berhubung kes memuat naik video makan kulit babi dan membaca ‘bismillah’ sebelum memakan makanan haram itu.
Mahkamah negeri di sini membuat keputusan itu kerana Lina melanggar undang-undang negara.
Ketua Majlis Hakim Roni Sinatra berkata perbuatan Lina itu dilihat sengaja mencari perhatian selain mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat
Lina bersalah kerana memuat naik video yang tidak sepatutnya kerana majoriti rakyat Indonesia beragama Islam.
Selain penjara dua tahun, Lina juga dikehendaki membayar denda 250 juta rupiah (RM76,175) dan jika gagal membayarnya, hukuman penjaranya akan ditambah selama tiga bulan.
Lina dalam pada itu menerima keputusan mahkamah dan menyesal dengan perbuatannya.
Dia yang beragama Islam sebelum ini memuat naik video di TikTok menunjukkan memakan hidangan kulit babi sambil membaca ‘bismillah’ atas alasan didorong rasa ingin tahu.—AlHijrah Online