IKIM ANJUR ANUGERAH PENCINTA NASYID IKIM (APNI) 20 DISEMBER INI

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI) 2020 pada 20 Disember ini.

Menurut IKIM, pengajuran APNI bagi menyahut saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selain membantu memartabatkan industri nasyid di Malaysia.

“APNI adalah sebuah program pertandingan mencipta lagu-lagu nasyid berpandukan tujuh nilai-nilai penting dalam Islam yang juga merupakan nilai-nilai bersama IKIM iaitu ilmu, hikmah, adab, amanah, adil, taqwa dan benar.

“Penglibatan tujuh orang penerbit lagu, tujuh orang penulis lirik tujuh orang penyusun lagu serta tujuh kumpulan penyanyi dalam penganjuran APNI kali ini diharapkan mampu membawa kelainan dalam program ini,” jelas kenyataan dikeluarkan Unit Perhubungan Korporat IKIM.

Dalam pada itu IKIM memaklumkan penganjuran kali ini juga berbeza di mana keseluruhan penganjuran dibuat secara dalam talian.

Antara penerbit yang terlibat adalah Mohammad Hafiz Hamidun, Azmee Abdul Manap (Daqmie), Muhammad Yasin Sulaiman, Ikhwan Fatanna, Fuad Zabidi (Fuad Ko), Azhrul Nasir (Along Exists) dan Mohd Hazry Mohd Hafidz (AG Coco).

Manakala penyanyi yang akan turut serta adalah kumpulan Rabbani, Hijjaz, InTeam, Zayne dan Halim Ahmad, Far East, Fadzli Fareast, Naim Helmi dan Maliq Suhaimi, Awla serta Simfoni dan Afad.

APNI 2020 pada 20 Disember ini akan disiarkan di TV IKIM, Youtube IKIM, FB IKIM dan juga boleh didengari di Radio IKIM. — AlHijrah Online

Leave a Reply