INSTAFAMOUS DIDENDA RM400 LANGGAR PERATURAN JALAN RAYA

DUNGUN: Seorang ‘instafamous’ wanita didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret selepas memuat naik video menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang tiada nombor pendaftaran.

Afifie Laila Abdullah, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab. Latif.

Afifie didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM300 hingga RM3,000 jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, peniaga atas talian tersebut yang dikenali sebagai Mok Epah telah membayar denda berkenaan.

Sementara itu, ‘instafamous’ tersebut mengakui kesilapannya melanggar peraturan jalan raya selepas ditemui di luar mahkamah.

Menurutnya, tujuan video yang dimuat naik tersebut adalah salah satu promosi produk yang dijualnya di media sosial.

“Kita punya hantaran ini untuk kandungan sebenarnya sebab kita buat dekat kawasan kampung jadi bukan niat untuk menunjuk.

“Tapi bila dah didenda, jadi pengajaran buat kita semua untuk patuh dengan peraturan jalan raya, pakai helmet, ikut spesifikasi (motor) yang betul,” katanya.

Sebelum ini, Afifie dikenakan kompaun RM300 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) kerana tidak memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Terengganu, tindakan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya walaupun video atau bukti bergambar itu dimuat naik menerusi akaun media sosial, katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply