ISU SUNTIKAN VAKSIN: PETUGAS TERLIBAT BERDEPAN TINDAKAN JIKA TERBUKTI BERSALAH

Gambar Hiasan.
Sumber: AFP

PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) tidak akan teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas yang didapati bersalah dalam isu membabitkan suntikan vaksin yang tular di media sosial sebelum ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, CITF memaklumkan badan berkenaan kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyiasat perkara tersebut.

Kenyataan itu turut menjelaskan tiga kes yang tular di media sosial, masing-masing di PPV Pandu Lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan PPV Bangi Avenue Convention Centre.

“Kes pertama telah berlaku pada 17 Julai 2021 di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja. Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.”

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)

“Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong. Di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), kejadian didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.”

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)

“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)
Gambar Hiasan.
Sumber: BERNAMA

Menurut CITF, polis kini menjalankan siasatan dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Prosedur operasi standard (SOP) proses vaksinasi COVID-19 kepada umum memerlukan setiap petugas menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya. – Alhijrah Online

Leave a Reply