VAKSINASI: ‘WALK-IN’ HANYA UNTUK GOLONGAN TERCICIR, TIDAK DAPAT TARIKH JANJI TEMU

Sumber Gambar: ARKIB BERNAMA

KUALA LUMPUR: Inisiatif pemberian vaksin secara ‘walk-in’ mulai 1 Ogos 2021 khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut.

Dalam kenyataan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), inisiatif tersebut bukan untuk mereka yang sudah diberikan tarikh janji temu terlebih dahulu.

Jelas kenyataan itu, golongan yang belum mendapat janji temu adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, seperti yang diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.

“Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, CITF juga memaklumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi secara ‘walk-in’ pada Ogos depan akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak.

Mengulas lanjut, CITF menyeru agar mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah ditetapkan.

Langkah tersebut sebagai mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes COVID-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin.–AlHijrah Online

Leave a Reply