100 PERATUS POPULASI DEWASA LENGKAP DIVAKSIN PADA OKTOBER

KUALA LUMPUR: Seratus peratus populasi dewasa dijangka akan menerima dos lengkap vaksin pada bulan Oktober 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sasaran itu diyakini dapat dicapai melalui program vaksinasi negara yang telah dipercepatkan.

Katanya mengikut perancangan awal, 80 peratus penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022, namun sasaran itu kemudiannya dipercepatkan ke Disember 2021.

“Kini, dengan penemuan varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas dan kes-kes positif meningkat dengan mendadak, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

Ujar Muhyiddin 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos 2021 di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

Manakala 100 peratus populasi dewasa di Sarawak katanya akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir Ogos.

“Hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir bulan Ogos 2021.

“Semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 70 peratus pada bulan September 2021,” katanya.

Tambah beliau dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi, kapasiti akan turut ditingkatkan untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari.

Kerajaan katanya telah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin dengan 70 peratus daripadanya jenis Pfizer, 23.4 peratus Sinovac, 10 peratus Astrazeneca. 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti COVAX.

“Setakat ini kita telah terima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.

“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada bulan Ogos, 53 juta dos pada bulan September dan 58 juta dos pada bulan Oktober.

“Baki selebihnya akan diterima antara bulan November 2021 hingga Januari 2022,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply