JAIS BENARKAN MAJLIS AKAD NIKAH BERMULA 1 JULAI

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Pelaksanaan majlis akad nikah dibenarkan bermula 1 Julai ini, kata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, pelaksanaan majlis akad nikah ditunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menerusi hantaran di Facebook JAIS, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, yang beroperasi setiap hari (Isnin hingga Ahad).

Tambahnya, hanya pasangan yang sudah mendapat tarikh temu janji daripada JAIS dan PAID sahaja dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah.

“Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

“Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah,” dalam kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, pasangan pengantin termasuk wali, wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

“Pihak-pihak terlibat wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Negeri Selangor berkaitan langkah-langkah keselamatan.

“Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan,” katanya.

Individu atau pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan semasa yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas.–AlHijrah Online

Leave a Reply