TIADA PERANCANGAN JUAL HARTANAH LAPANGAN TERBANG, TERMASUK LTSAAS – KEMENTERIAN KEWANGAN

PUTRAJAYA: Kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hartanah lapangan terbang dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

Menurutnya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan ke atas tanah LTSAAS, selama 60 tahun sehingga 2067.

“LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut sebaliknya berperanan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS,” katanya.

Tambahnya, sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub- leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply