KUALA LUMPUR: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mengesan sebuah akaun sosial media palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) memaparkan suara Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
RPO berkata, video berkenaan disebarkan melalui TikTok dengan memaparkan video kononnya berkaitan bantuan kewangan daripada Baginda kepada orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu ini yang sering digunakan oleh “scammers” untuk tujuan penipuan di platform media sosial.
“Royal Press Office ingin menegaskan bahawa penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tinjauan Berita AlHijrah menerusi akaun palsu tersebut turut terdapat video AI yang memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.—AlHijrah Online